iPhone 13 merupakan antara telefon pintar terbaik yang berada di pasaran sekarang. Model ini meliputi pelbagai saiz, harga dan mempunyai pengalaman penggunaan yang sama. Ia menawarkan perkakasan berkualiti tinggi, prestasi tiada tandingan, dan ekosistem besar aplikasi dan aksesori yang menjadikannya pilihan yang menarik berbanding telefon pintar berasaskan Android yang terdiri dari pelbagai jenama.
Di sebalik semua usaha Apple untuk menjadikan iPhone 13 sebagai telefon pintar terbaik, ia sebaliknya melakukan beberapa kesilapan di sana sini yang menghalang usaha tersebut. Di sini kami senaraikan beberapa cara Apple boleh menambah baik iPhone 14 (dan iPhone 14 Pro) dan seterusnya mencapai objektifnya untuk menjadi telefon pintar yang terbaik.
Gantikan kabel lightning dengan USB-C

Apple telah bergantung pada port Lighting sejak 10 tahun lalu bermula dari iPhone 5. Ia kekal berada di bahagian bawah setiap iPhone baharu sejak 2012. Apabila ia mula-mula muncul, port Lightning merupakan peningkatan yang kukuh untuk iPhone. Ia menggantikan penyambung 30-pin lama yang digunakan oleh Apple dan lebih mudah digunakan, lebih pantas dalam mengecas dan memindahkan data serta lebih kecil.
Ia juga diperkenalkan beberapa tahun sebelum USB-C. Forum Pelaksana USB tidak meluluskan Spesifikasi USB-C 1 sehingga 2014, tetapi port yang diseragamkan telah memperoleh ciri baharu dan penggunaan hampir universal sejak itu. Sebilangan besar peranti elektronik pengguna kecil, termasuk telefon, tablet, komputer riba, aksesori dan banyak lagi, semuanya bergantung pada USB-C untuk pengecasan dan/atau pemindahan data kecuali iPhone.
Sudah tiba masanya untuk Apple menyertai industri elektronik pengguna yang lain dalam menyokong port yang diseragamkan. Apple telah mengemas kini iPad dan MacBook terpilih kepada USB-C. Langkah ini amat dialu-alukan untuk mengurangkan jumlah wayar yang perlu di simpan dan di bawa ke sana sini dan ia juga akan turut membantu alam sekitar seperti yang Apple sering laungkan apabila mereka tidak menyertakan palam pengecas bersama-sama dengan iPhone baharu.
Buang takuk

Kebanyakan iPhone yang dikeluarkan sejak 2017 bermula dari iPhone X telah menampilkan takuk besar di bahagian atas skrin sebagai tempat untuk kamera dan modul Face ID. Walaupun Apple mengurangkan saiz takuk iPhone 13 sebanyak kira-kira 20% jika dibandingkan dengan takuk iPhone 12, ia masih merupakan takuk besar yang mencacatkan skrin. Sudah tiba masanya Apple mereka bentuk telefon andalan tanpa takuk dan iPhone 14 sepatutnya menjadi telefon untuk melakukannya, walaupun itu mungkin bermakna bezel akan menjadi lebih lebar sedikit di bahagian atas paparan.
Pengecasan lebih pantas

Apple kelihatan langsung tidak berminat dengan persaingan pengecasan pantas. Walaupun pembuat peranti Android berlumba-lumba mereka bentuk telefon yang boleh mengecas sepenuhnya dalam masa kurang 30 minit, Apple hampir tidak meningkatkan kadar pengecasan iPhone sama sekali. iPhone 13 Pro, sebagai contoh, mengecas pada ~20W dengan kemuncak pada 27W dengan pengecas berwayar yang sesuai dan 15W dengan pengecas MagSafe tanpa wayar Apple. Dan untuk pengecas tanpa wayar berasaskan Qi pula, Phone 13 Pro mengecas hanya pada 7.5W.
Walaupun Apple mungkin tidak berminat dengan kegilaan pengecasan pantas ini, tetapi dalam zaman di mana setiap minit adalah berharga, masa pengecasan yang dikurangkan akan menjadi peningkatan besar kepada iPhone 14.
Kadar segar semula 120Hz

iPhone 14 memerlukan skrin yang lebih pantas. Pada ketika ini dalam permainan, majoriti telefon Android telah menggunakan paparan dengan kadar segar semula sehingga 120Hz. Hampir semua telefon pintar andalan sudah mempunyai skrin sedemikian. iPhone 13 Pro dan Pro Max milik Apple sendiri menawarkan paparan 120Hz yang Apple panggil “ProMotion.” Skrin sedemikian memberikan pengalaman yang lebih lancar, terutamanya apabila menatal melalui aplikasi. iPhone 13 dan iPhone 13 Mini, bagaimanapun hanya sekadar paparan 60Hz.
Apple harus mengemas kini paparan iPhone bukan Pronya untuk memasukkan kadar segar semula 120Hz yang sama seperti model Pro yang lebih mahal. Ini akan meletakkan iPhone 14 setanding dengan telefon pintar Android lain.
Kembalikan Touch ID

Apabila Apple mengumumkan iPhone X pada 2017, ia kehilangan ciri utamanya iaitu Touch ID. Selama bertahun-tahun, Apple telah memasukkan pembaca cap jari dalam butang rumah iPhonenya. Tetapi iPhone X (dan kebanyakan iPhone sejak itu) menghapuskan butang rumah untuk menghasilkan reka bentuk skrin penuh pada bahagian hadapan. Face ID, yang merupakan mekanisme buka kunci pengecaman muka yang luar biasa dan selamat, menggantikan Touch ID.
Walaupun Face ID pada iPhone adalah yang terbaik, sesetengah orang mendambakan Touch ID dikembalikan. Lebih-lebih lagi di zaman wabak COVID-19 di mana kita perlu memakai topeng apabila keluar dari rumah, kita tidak boleh sentiasa bergantung pada wajah kita untuk membuka kunci telefon. Kemas kini baru-baru ini memang menawarkan ciri buka kunci muka dengan topeng, tetapi ia tetap tidak boleh dipercayai.
Apple harus menyertakan pengimbas cap jari dalam paparan dalam iPhone 14. Ini akan memberi pilihan kepada peminat Touch ID untuk membuka kunci telefon. Ia juga akan membolehkan Apple membuat iPhone 14 tanpa takuk. Dan jika Touch ID di bawah paparan tidak dapat dilakukan buat masa ini seperti yang dilaporkan, mungkin touch ID boleh diletakkan pada butang kuasa di sisi telefon. Buat masa ini, jika anda mahu menggunakan Touch ID, satu-satunya pilihan yang ada pada masa ini ialah iPhone SE.
Kamera dengan resolusi lebih tinggi

iPhone 13 Pro mempunyai salah satu kamera yang lebih baik yang terdapat pada peranti mudah alih. Ia memuatkan gabungan kanta utama, ultralebar dan telefoto yang kami suka dan berjaya mengambil gambar yang sangat bagus. Walau bagaimanapun, Apple telah bergantung pada kamera 12MP dalam telefonnya sejak iPhone 7 Plus yang dikeluarkan pada tahun 2016.
Pesaing utama Apple dalam bidang fotografi mudah alih ialah Google dan Samsung. Telefon pintar Pixel 6 dan Galaxy S22 ialah pilihan yang sangat baik untuk kualiti kamera. Telefon ini telah meningkatkan resolusi kamera utama mereka dengan ketara. Pixel 6 Pro, sebagai contoh, mempunyai kamera utama 50MP, manakala Galaxy S22 Ultra mempunyai kamera utama 108MP. Ini memberikan Google dan Samsung fleksibiliti untuk menawarkan lebih banyak ciri dengan kamera utama mereka yang tidak dapat ditandingi Apple dengan kamera 12MPnya, seperti tangkapan resolusi ultra tinggi dan penggabungan piksel untuk prestasi cahaya malap yang dipertingkatkan.
Walaupun megapiksel bukanlah segala-galanya, kami ingin melihat Apple mengemas kini kameranya dengan pilihan resolusi lebih tinggi untuk iPhone 14.
Reka bentuk baru

Apple terkenal sebagai sebuah syarikat yang menggunakan reka bentuk yang sama untuk beberapa kitaran produknya. Sebagai contoh reka bentuk MacBook Pro, MacBook Air atau iPad Pro yang hampir tidak ada perbezaan antara model terkini dengan model yang dikeluarkan sebelum ini. Walaupun konsistensi adalah bagus, kadang-kadang perubahan tetap perlu. Google, sebagai contoh, telah memperkenalkan peranti yang jauh berbeza tahun demi tahun dengan telefon Pixelnya.
iPhone 13 dan iPhone 12 sebelumnya mempunyai reka bentuk yang sama terutamanya apabila anda melihat skrin. Dan jika dibandingkan dari iPhone X, ia hampir tidak ada perubahan yang ketara langsung. Sudah tiba masa Apple memberikan pembaharuan reka bentuk untuk iPhone bukan sekadar warna baharu.