Infinix telah mengumumkan bahawa siri telefon pintar Infinix Note 12 akan tiba di Malaysia bulan depan. Sebagai pesaing terbaharu jenama itu dalam pasaran telefon pintar kelas pertengahan, peranti ini hadir dalam dua konfigurasi cipset MediaTek, iaitu Helio G96 dan Helio G88, masing-masing turut menampilkan beberapa perbezaan kecil dari segi perkakasan lain.
Kedua-dua varian Infinix Note 12 mempunyai saiz dan reka bentuk yang sama, walaupun satu cara untuk membezakannya ialah susunan kamera yang berbeza di belakang mereka. Selain itu, model G88 juga lebih ringan sedikit, dengan beratnya pada 184.5 g, iaitu 0.5 g kurang daripada G96. Bagi pilihan warna, G96 boleh didapati dalam Jewel Blue, Force Black dan Sunset Golden, manakala G88 ditawarkan dalam Force Black, Snowfall dan Sapphire Blue.

Untuk paparan, kedua-duanya hadir dengan skrin rata 6.7-inci dengan resolusi 2400 x 1080 px, dengan model Infinix Note 12 G96 menampilkan panel IPS manakala G88 pula mempunyai panel AMOLED. Kedua-dua model juga didatangkan dengan penderia cap jari yang dipasang di sisi, dwi pembesar suara yang dipertingkatkan DTS, port USB-C dan bicu fon kepala 3.5mm.
Di dalamnya pula, varian Helio G96 Infinix Note 12 ditawarkan dengan konfigurasi memori 8GB RAM dan storan dalaman sehingga 256GB. Versi Helio G88 pula dilengkapi dengan 6GB RAM dan storan dalaman 128GB. Kedua-dua model didatangkan dengan kapasiti bateri 5,000mAh dengan pengecasan pantas 33W. Selain itu, ia juga dilengkapi dengan sistem penyejukan graphene dengan penyejukan cecair ruang wap, serta Android 12 (melalui XOS 10.6 Infinix) siap dipasang.

Untuk bahagian fotografi, pada bahagian belakang kedua-dua Infinix Note 12 – walaupun menampilkan susunan visual yang berbeza – terdapat tiga kamera yang terdiri daripada kamera utama 50MP, sensor kedalaman 2MP dan penembak QVGA. Sementara itu, terletak dalam takuk titisan air pada paparan ialah kamera swafoto 16MP.
Siri Infinix Note 12 baharu dijangka mula dijual di Malaysia pada 10 Jun 2022 melalui kedai rasmi jenama itu di Shopee dan peruncit sah di seluruh negara. Model MediaTek Helio G96 berharga RM 769 untuk pilihan 8GB + 128GB dan RM 869 untuk 8GB + 256GB, manakala varian G88 dijual pada harga RM 749 untuk konfigurasi tunggal 6GB + 128GB.

Sempena pelancaran tempatan siri telefon pintar itu, Infinix menawarkan ketiga-tiga model pada harga promosi istimewa untuk masa terhad dari 10 hingga 13 Jun. Dalam tempoh ini, Note 12 G96 berharga RM 679 dan RM 779, manakala G88 boleh didapati pada harga RM 649.